Cari Blog Ini

Khamis, 28 Februari 2013

Laporan dakwa Pakatan tawar tol percuma untuk ahli parti

Satu laporan agensi berita nasional Bernama hari ini mendakwa Pakatan Rakyat menawarkan bayaran tol percuma kepada pemegang kad keahlian parti DAP, PKR dan PAS.

Laporan berhubung kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu mendakwa, manifesto berkenaan menyatakan tawaran bahawa kad keahlian tersebut boleh digunakan di kesemua plaza tol.

“Pada 25 Februari lepas, pakatan pembangkang melancarkan manifesto 10 perkara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, antaranya, pendidikan percuma bermula dari prasekolah hingga menara gading, kad keahlian DAP, PKR dan PAS boleh diguna di semua plaza tol untuk mendapat tol percuma, selain penurunan cukai eksais kereta secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun,” laporan itu dipetik.

Malaysiakini turut menyiarkan laporan berkenaan pagi ini.

K'jaan mahu kurangkan duti kereta Jepun, Australia

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan mengumumkan pengurangan duti untuk kereta yang diimport dari Jepun dan Australia.

NONELaporan The Star Online menyebut, pengurangan duti untuk model dari negara berkenaan akan dibuat dalam tempoh tiga tahun.

Beliau juga berkata, butiran lanjut mengenai perkara itu akan didedahkan esok.

Pengumuman tersebut dipercayai bagi menandingi tawaran Pakatan Rakyat dalam manifesto barunya – untuk menurunkan cukai eksais kereta secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Pakatan dalam manifesto yang diumumkan Isnin lalu juga menawarkan untuk meliberalisasi industri automotif.

Gara-gara Dihentam Peminat dan Penyokong PR, Salih Yaacob Umum Bersara daripada Industri Hiburan


Bahana menyindir Pakatan Rakyat secara melulu dan tanpa membuat penyelidikan.

Penyampai radio, pelawak serta pengacara terkenal, Salih Yaacob, 52, dilaporkan oleh Utusan Malaysia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada dunia hiburan ekoran penyebaran sketsa pendek berjudul Buku Jingga di laman YouTube. Sketsa tersebut merupakan satu daripada video yang diterbitkan dalam siri Bangkang dari Longkang.

Sketsa pendek berdurasi kira-kira tiga minit yang memaparkan situasi di sebuah ceramah parti politik itu turut disertai seorang lagi rakan pelawaknya, Nabil Ahmad.

Kesannya, Salih mendapat kritikan meluas daripada pihak penyokong parti pembangkang, bahkan stesen radio Sinar FM turut diugut untuk diboikot.

"Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada peminat.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam bidang hiburan selepas ini. Soal kerjaya sebagai penyampai radio pula saya serah semuanya kepada pihak pengurusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

 Laporan dan video yang memaparkan sketsa Buku Jingga itu boleh ditonton di sini.
Siri Bangkang dari Longkang turut membarisi pelawak Afdlin Shauki, Sathiya, Harun Salim Bachik, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Shahira, Harith Iskander, Douglas Lim, dan Johan Raja Lawak yang menyentuh pelbagai isu semasa termasuklah isu Buku Jingga, Gaji Minimum, dan BERSIH.
Setakat ini hanya Nabil dan Salih Yaacob yang menerima tempias kerana terbabit dalam siri Bangkang dari Longkang. Bagaimana pula respons masyarakat terhadap pelawak lain yang turut mempersenda PR dalam pelbagai isu? Tonton video-video tersebut di Youtube dan nilailah fitnah dan sindiran yang dilakonkan oleh mereka

Rabu, 27 Februari 2013

Ibu bunuh anak lelaki kerana malu zakarnya mengecil

"Kalau alat kelamin tak ada, lebih baik mati saja," begitu kata seorang ibu berusia 38 tahun dalam keterangan kepada polis ketika mengaku membunuh anak lelakinya berusia tujuh tahun kerana malu dengan jiran-jiran di Jatinegara, Cakung, Jakarta Timur semalam.
  
Dalam kejadian di rumahnya itu pada tengah semalam, wanita itu dilaporkan telah membenam kepala kanak-kanak itu ke dalam baldi berisi air sehingga tidak bernyawa.
  
Ibu itu juga mengikat tangan dan kaki anaknya agar dia tidak meronta.
  
Dia telah menyerah diri di balai polis dan mengaku melakukan pembunuhan itu.

Seorang jurucakap polis dipetik oleh portal berita kompas.com sebagai berkata bahawa kanak-kanak lelaki itu telah melalui proses berkhatan di kampung halaman di Grobogan, Jawa Tengah Disember lalu.
  
Setelah pulang ke Jakarta, wanita itu yang mendapati alat kelamin anaknya mengecil telah membawa anaknya ke sebuah pusat berkhatan di Bekasi, Jawa Barat.
  
Usaha itu tidak memberi hasil sebagaimana yang diharapkan sehingga menyebabkan dia berasa malu dengan jiran-jiran dengan keadaan zakar anaknya itu, kata jurucakap itu.
  
Selain motif perasaan malu, polis akan juga menyiasat motif lain dalam pembunuhan itu kerana jiran-jiran wanita itu tidak mengetahui masalah yang dialami kanak-kanak lelaki itu selepas dia berkhatan.
  
- Bernama

Rabu, 20 Februari 2013

MB menghadap Sultan Selangor, bubar Dun hari ini

PRU13 Teka teki pembubaran Dewan Undangan Negero (Dun) Selangor bakal terjawab apabila Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bagi mendapatkan perkenan berhubung perkara itu.

Perkara ini disahkan beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berhubung pertemuan antara Menteri Besar dan Sultan hari ini mengenai pembubaran Dun Selangor.

Desas desus ini disahkan, Timbalan Speaker Selangor merangkap Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Memang setiap Rabu, Menteri  Besar akan menghadap Sultan sebelum mesyuarat exco. Tetapi mungkin pertemuan esok (hari ini) bakal menjawab segala ‘ribut spekulasi’ yang melanda Selangor belakangan ini.

“Petang ini (semalam) Menteri Besar mengadakan mesyuarat dengan barisan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), ini memang mesyuarat berkala tetapi mungkin agendanya bakal menjawab teka-teki pembubaran Dun Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman turut memaklumkan perkara sama.

“Betul, betul, Tan Sri Abdul Khalid akan menghadap Sultan esok,” katanya.

Ribut spekulasi ini turut mendapat reaksi positif daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani, mengiakan perkara tersebut walau bagaimanapun beliau enggan mengulas tujuan pertemuan tersebut.

“Setiap Rabu, memang Menteri Besar akan menghadap Sultan pada jam 8.30 pagi tapi saya tidak pasti tujuan pertemuan esok (hari ini),” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid memaklumkan pembubaran Dun akan dilakukan selepas sambutan Cap Goh Meh, yang jatuh Ahad ini, dan dijangkakan perkara ini akan disahkan Menteri Besar sendiri pada mesyuarat Exco hari ini.

Semalam, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri hanya mengumumkan pembubaran Dun selanjutnya adalah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk merancang dan melaksanakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Khamis, 14 Februari 2013

Deepak hantar surat pada AG hari ini mohon imuniti

Saudagar permaidani Deepak Jaikishan memohon imuniti daripada sebarang dakwaan undang-undang sebagai galang ganti untuk mendedahkan "lebih banyak maklumat berkaitan salah guna kuasa dan rasuah perdana menteri".

Permohonan itu dibuat Deepak dalam satu surat rasmi yang diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di Putrajaya sekitar jam 12 tengahari tadi.

Dalam surat tersebut, Deepak menyatakan kesediaannya untuk menyalurkan maklumat lanjut berkenaan salah guna kuasa pemimpin tinggi negara itu kepada mana-mana pihak berkuasa .

"Saya bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasa untuk memberikan maklumat lanjut mengenai penglibatan perdana menteri di dalam penyalahgunaan kuasa yang melibatkan keluarga beliau dengan syarat saya diberikan perlindungan daripada sebarang dakwaan jenayah dan diberikan 'certificate of immunity'," kata Deepak dalam surat itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Deepak berkata surat itu diterima seorang wakil kepada  Tan Sri Mohd Gani Patail yang hanya dikenali sebagai Haji Nasaruddin.

Menurutnya, beliau memberikan masa sehingga 11 Mac depan - yang merupakan tarikh hari jadinya - untuk Peguam Negara memberi maklum balas kepada permohonan beliau itu.

Beliau turut ditemani Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sewaktu menyerahkan surat itu.

Deepak sebelum ini mendakwa menjadi orang tengah dalam akuan bersumpah kedua penyiasat P Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Beliau turut membuat beberapa lagi dakwaan salahlaku terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Najib telah menafikan semua dakwaan Deepak dan menyifatkannya sebagai tiada asas dan tidak boleh dipercayai.

Sabtu, 9 Februari 2013

Musa Hassan Telah Berjumpa Anwar: Untuk Apa?

Ada maklumat bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan telah menemui Anwar Ibrahim beberapa hari lepas. Musa sebelum ini telah menarik samannya terhadap Anwar berhubung satu laporan polis dibuat Anwar kononnya Musa telah melindungi fakta dalam siasatan ke atas satu kes membabitkan Ketua Umum PKR itu.

Penarikan balik saman oleh Musa tanpa atas kehendak bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebaliknya atas kerelaan Musa menimbulkan pelbagai tanda tanya. Ada yang berpendapat Musa menyesal dengan perbuatannya terhadap Anwar semasa menjadi seorang pegawai polis yang penuh berkuasa dulu.

Tidak kurang juga ada yang beranggapan Musa telah menemui petunjuk baru dan ada juga yang menghitungkan penarikan balik saman itu kerana ada undang di sebalik batu.

Musa cuba telah menjelaskan ia adalah atas kerelaan dan bukan bermotif politik. Tetapi para pemerhati dan penganalisa berpolitik tetap beranggapan kerelaaan Musa untuk berbaik dengan Anwar itu tetap ada motifnya. Justeru Anwar diharap agar berwaspada dan tidak mudah tidur dalam perut Musa.

Berhubung pertemuan Musa dengan Anwar itu, saya difahamkan Musa dikatakan telah berbincang sesuatu yang agak menarik dengan Anwar dan dalam pertemuan itu Musa juga telah membuat pengakuan berhubung kes liwat yang didakwa ke atas Anwar sebagai satu daripada strategi politik.

Khabarnya, Anwar telah meminta Musa membuat kenyataan akhbar tentang pengakuan itu tetapi Musa enggan. Kenapa enggan?  Sekiranya Musa ikhlas untuk berbaik dengan Anwar dan insaf atas apa-apa kezaliman yang dilakukan ke atas Anwar sebelum ini Musa tidak perlu malu-malu untuk membuat penjelasan kepada umum.

Disebabkan pertemuan dan perbincangan itu sudah berlaku, sudah pasti Anwar ada 'rancangan' ke atas pertemuan itu dan suatu hari beliau akan jelaskan juga melainkan keduanya ada persefahaman (kontrek) untuk tidak saling menjelaskan isi pertemuan itu.

Dalam perkembangan lain satu maklumat dari seorang bergelar Datuk yang ada pertalian dengan seorang Menteri Besar menyebut, ada usaha dipihak Umno untuk mempertemukan Anwar dengan Mahathir Mohamad. Pertemuan itu akan berlaku di luar negara. Apakah sikap 'tasamuh' yang ditunjukkan Musa anak Hassan itu ada kena menegan dengan rancangan ini?

Nota: sekali lagi diingatkan kepada Anwar agar jangan leka dan terlalu mempercayai kepada sesiapa yang pernah beliau anggap musuh dan menyusahkan hidupnya sebelum ini.