SELEPAS hampir sepenggal menawan kerusi Dun Sijangkang
daripada Barisan Nasional, Pas cukup yakin mampu mempertahankan kembali
kedudukannya di kawasan tersebut.
Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi
berkata, calon Pas masih di hati penduduk dan tidak mustahil mereka akan
tetap memilih pemimpin dari parti yang sama untuk terus berada di
kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Menurut beliau, tidak kira sama ada dirinya dicalonkan semula atau
tidak, pengundi di Sijangkang dilihat cukup selesa berada di bawah
pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat dan calon Pas tetap menjadi pilihan
hati mereka.
“ Bagi saya, biarlah pucuk pimpinan Pas dan PR membuat pemilihan calon
dan jika ditakdirkan tidak menjadi calon di sini dalam PRU13 nanti, saya
tidak kisah asalkan wakil PR terus mentadbir rakyat di sini seperti
kemenangan yang dikecapi lima tahun lalu," katanya.
Dr Ahmad Yunus berpendapat, jika Pas dan PR mahu terus mengekalkan
kemenangan itu, mereka perlu mendekati pengundi atas pagar kerana undi
golongan tersebut memberi impak cukup besar pada PRU13 nanti.
“Kita kena akui bahawa undi golongan atas pagar adalah penentu kepada
kemenangan, jadi kami perlu terus mendekat kelompok ini dalam memastikan
terus kekal di Sijangkang.
"Selain memberi tumpuan kepada soal kebajikan rakyat, masa depan
anak-anak bersekolah dan belia merupakan fokus utama yang diberikan bagi
menentukan hala tuju golongan ini," katanya.
Kata beliau, dalam tempoh lima tahun ini, pelbagai masalah masyarakat
berjaya diselesaikan oleh pihaknya, manakala perancangan masa depan
telah dibuat kerana kawasan Sijangkang merupakan lokasi tumpuan kerana
berhampiran dengan Lembah Klang.
“Tidak mustahil Dun Sijangkang masih boleh dikekalkan memandangkan pada
pilihan raya lepas kita hanya tewas kepada satu kerusi sahaja iaitu di
Dun Morib.
“Tetapi, dengan perancangan yang dibuat melalui pelbagai latihan
simulasi dan aktiviti turun padang memberi impak kepada dua kawasan
tumpuan, iaitu Dun Morib dan Dun Sijangkang sebagai pilihan pimpinan Pas
yang bakal menerajui kepimpinan pada PRU nanti,” katanya.
“Sebagai wakil rakyat yang sudah menerajui pimpinan di Dun Sijangkang
dan menjadi Exco Selangor, saya yakin pimpinan PR yang berganti
sekalipun mampu menunjukkan prestasi yang baik dan mempertahankan kerusi
yang dimenangi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan