Bagi kira-kira 160 rakyat Malaysia, mereka belum terlalu tua untuk
mencuba sesuatu yang baru, termasuk mendaftar sebagai pengundi selepas
menyambut ulang tahun mereka ke-90.
Satu kajian yang dilakukan
oleh Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap) mendapati lebih 160
orang yang berumur 90 dan ke atas, termasuk beberapa orang yang berusia
100 tahun, telah mendaftar sebagai pengundi baru sejak pilihan raya
umum lepas.
Dalam siri laporan yang diterbitkan di blognya, Merap
berkata terdapat 143 warga emas berusia 90 dan ke atas dan termasuk
beberapa orang berusia 100 tahun, ditambah ke dalam daftar pemilih
antara pilihan raya umum 2008 dan suku ketiga 2011.
Menurutnya, Merap mendapati walaupun terdapat usaha
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengeluarkan pemilih yang
meninggal dunia, tetapi seolah-olah terdapat satu usaha oleh pihak-pihak
tertentu untuk terus mendaftar mereka yang tidak mungkin masih hidup.
Senarai
itu termasuk seorang pengundi wanita berusia 103 tahun yang telah
didaftarkan oleh sebuah agensi kerajaan pada tahun 2011.
Bagaimanapun satu semakan bulan lepas mendedahkan nama pengundi ini, Piah Nyat, telah dikeluarkan dari daftar pemilih.
"Walaupun
mungkin pengundi ini telah meninggal dunia sejak pendaftarannya, ia
lebih berkemungkinan pengundi ini sudah meninggal dunia pada masa
pendaftaran dibuat," kata Merap.
Menurut kajian itu, pengundi baru kedua tertua, berumur 99
ketika mendaftar pada tahun 2010 dan berusia 102 tahun ini, masih menjadi seorang pengundi di Parlimen Bukit Mertajam.
Dua
lagi pengundi, yang berusia 98 apabila mereka masing-masing mendaftar
pada tahun 2010 dan 2011 dan kini berusia 101 dan 100 tahun, masih
menjadi pengundi di kawasan masing-masing, di Kulim Bandar Baharu dan
Kuala Terengganu.
Pada suku ketiga dan keempat 2012, terdapat 19
lagi pengundi seumpama itu ditambah kepada daftar pemilih termasuk dua
orang yang masing-masing berusia 103 dan 104 tahun, yang didaftarkan
pada suku keempat.
Selain pendaftaran baru, kajian itu juga menunjukkan 13
pengundi yang berusia melebihi 90 menukar alamat mengundi mereka dalam dua suku berkenaan.
Menurutnya,
walaupun SPR telah mengambil beberapa inisiatif untuk memadam nama
pengundi yang tua atas sebab-sebab kematian, apa yang tidak dapat
disangkal ialah ada pihak-pihak yang berkepentingan tertentu secara
konsisten membekalkan pendaftaran pengundi baru yang sudah tua, kepada
SPR.
"Ejen mengundi harus berwaspada dan mengesan pengundi
berusia 90 dan 100 tahun yang mengundi untuk kali pertama dalam hidup
mereka yang seusia itu," demikian kesimpulan Merap.
Merap
diketuai Ong Kian Ming, seorang pensyarah dan penganalisis politik di
Universiti UCSI yang menyertai DAP tahun lepas. Organisasi itu berusaha
mengenal pasti masalah dalam daftar pemilih dan mencari jalan untuk
membetulkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan