Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa kerajaan
persekutuan mungkin menyekat usaha kerajaan negeri untuk mengambil alih
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana Putrajaya mempunyai
"pegangan emas" dalam syarikat itu.
Khalid (kanan) berkata pentadbiran beliau membincangkan
pengambilalihan
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dengan kerajaan persekutuan
kerana Kementerian Kewangan memegang saham emas dalam syarikat tersebut.
"Datuk
Peter Chin (Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi) yang mewakili
kerajaan persekutuan mesti menjelaskan dalam suratnya kepada saya bahawa
Kementerian Kewangan sedia untuk menjual pegangannya dalam langkah
penyusunan semula.
"Jika ini tidak dilakukan, usaha penyusunan
semula (oleh kerajaan negeri Selangor) ke atas syarikat konsesi air itu
tidak boleh dilaksanakan," katanya.
Menurut menteri besar,
kerajaan negeri telah membuat tawaran kepada SYABAS tetapi pihaknya
diberitahu oleh mereka bahawa Kementerian Kewangan tidak meluluskan
perjanjian itu (kerana ia mempunyai saham emas) di dalamnya.
Khalid
diminta mengulas kenyataan Peter Chin minggu lepas bahawa langkah
Selangor untuk mengambil alih syarikat bekalan air di negeri ini tidak
membabitkan kerajaan persekutuan, tetapi ia harus berunding dengan
syarikat-syarikat konsesi.
Menteri besar Selangor berkata tujuan
kerajaan negeri mahu untuk menyusun semula bekalan air, ialah bukan
untuk menaikkan kadar air tetapi untuk memastikan rakyat tidak akan
dibebani oleh kenaikan kos.
Ahli Parlimen Klang, Charles
Santiago, yang merupakan seorang pakar dalam perjanjian air berkata
kerajaan persekutuan mahu mengelak berurusan dengan kerajaan negeri
berhubung urusan tersebut.
"Kerajaan negeri mahu menyusun semula,
tetapi kerajaan persekutuan tidak mahu melakukannya dan itulah sebabnya
mereka menolaknya balik kepada kerajaan negeri.
"SYABAS, Splash
dan PUAS sepatutnya berbincang dengan kerajaan persekutuan berhubung
langkah penyusunan semula itu," katanya sambil menegaskan bahawa perkara
itu telah banyak kali dibangkitkan di parlimen tetapi kerajaan
persekutuan sering mengelaknya..
"Ini menunjukkan Peter Chin
tidak ikhlas dalam kenyataan beliau," katanya Charles (kiri) sambil
berkata seolah-olah kerajaan Persekutuan mempunyai agenda tersendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan